SEJARAH PENUBUHAN GIATMARA

Dalam tahun 1980'an, pihak MARA telah memohon untuk menubuhkan beberapa Mini Institut Kemahiran MARA tetapi ketika itu projek tersebut tidak dapat dipertimbangkan oleh kerajaan.

Memandangkan keperluan tenaga mahir oleh pihak swasta kian bertambah mendesak, maka Majlis MARA meluluskan satu program latihan yang dinamakan Pusat GIATMARA sebagai permulaan di Jitra, Kedah pada tahun 1986.

Oleh kerana sambutan penduduk tempatan amat menggalakkan, Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 5 telah meluluskan sebanyak 15 Pusat GIATMARA dan dalam Rancangan Malaysia Ke 6 sebanyak 21 Pusat GIATMARA menjadikan sebanyak 36 Pusat GIATMARA.

Tahun demi tahun, keperluan tenaga mahir kini meningkat memandangkan ekonomi negara yang baik. Menyedari hakikat ini, pihak Majlis MARA meluluskan 128 Pusat GIATMARA yang beroperasi sehingga Januari 1999.

Pihak MARA ada berbagai program latihan kemahiran dalam berbagai tahap. Bagi tahap asas dikendalikan oleh Pusat GIATMARA.

Tahap pertengahan dijalankan oleh Institut Kemahiran MARA (IKM). Manakala seterusnya peringkat tertinggi dikendalikan oleh German Malaysian Institute(GMI) dan lain-lain.

Falsafah GIATMARA dalam Rancangan Malaysia Ke 6 adalah untuk memberi latihan teknikal peringkat asas kepada penduduk tempatan mengikut keperluan semasa.

Sepanjang Rancangan Malaysia Ke 6, konsep penubuhan Pusat GIATMARA adalah dengan cara mendapatkan tapak dan bangunan secara percuma/sewa dengan menggunakan bangunan Kerajaan atau lain-lain agensi.

Dalam Rancangan Malaysia ke 7, pihak GIATMARA mencadangkan supaya konsep dalam status tapak/bangunan diubah kepada yang lebih kekal. Ini adalah kerana kebanyakan tapak/bangunan yang digunakan sepanjang Rancangan Malaysia Ke 6 adalah sementara dan berkemungkinan diambil alih oleh tuan punya tapak/bangunan.

Sehingga kini terdapat 133 Pusat GIATMARA sedang beroperasi di seluruh negara. Manakala jumlah Pusat GIATMARA yang diluluskan ialah 140.